Sunday, January 23, 2011

SITUASI 2

19 JANUARI 2011

DIALEK KELANTAN AGAK SUKAR DIFAHAMI

Pengalaman tinggal bersama rakan yang berasal dari latar belakang negeri yang berbeza merupakan satu pengalaman yang amat menarik. Pada nukilan kali ini saya masih lagi ingin membicarakan topik yang berkaitan dengan dialek. Fokus kali ini adalah dialek Kelantan. Majoriti rakan serumah saya merupakan pelajar yang berasal dari negeri Kelantan. Hal ini jelas memberi gambaran kepada kita bahawa dialek yang digunakan dalam pertuturan harian adalah dialek Kelantan. Untuk makluman, saya sudah hampir 3 tahun di universit ini dan sepanjang pengajian saya saya akan tinggal bersama rakan yang berasal dari Kelantan. Namun, sehingga kini saya masih tidak mampu untuk memahami dialek-dialek yang menjadi pertuturan mereka. Kadang-kala situasi ini membuatkan saya tertanya-tanya apa yang sedang mereka ketawakan dan apa yang sedang mereka perkatakan.

Antara perkataan dialek Kelantan yang saya tidak fahami adalah seperti berikut:

1. ngepong - maksud: pujian yang melampau.

2. serabut perut - maksud: perkara yang merunsingkan.

3. nana - maksud: pening, tidak tentu arah.

4. tohuk - maksud: buang.

5. agah - maksud: sombong.

Senarai dialek di atas merupakan beberapa perkataan yang boleh dikatakan agak janggal kepada saya sebagai penutur bahasa Melayu baku (standard). Namun, untuk meningkatkan kefahaman saya terhadap dialek Kelantan ini, pertanyaan demi pertanyaan sering saya lontarkan bagi mengetahui maksud perkataan yang tidak difahami.

Oleh hal yang demikian, dapatlah saya katakan bahawa variasi yang terdapat dalam bahasa Melayu merupakan salah satu keistimewaan bahasa kebangsaan ini yang menjadi alat pertuturan masyarakat Malaysia. Dialek-dialek yang terdapat di Malaysia dituturkan oleh kebanyakan rakyat di negara ini mengikut daerah dan negeri masing-masing. Walaupun, bahasa Melayu memiliki pelbagai dialek, namun, bahasa Melayu baku perlu juga dikuasai oleh semua masyarakat di Malaysia dalam proses mendaulatkan bahasa kebangsaan ini.

No comments:

Post a Comment