Sunday, January 23, 2011

SITUASI 5

23 JANUARI 2011

BAHASA MELAYU DI SEKOLAH JENIS KEBANGSAAN

Pendidikan di Malaysia telah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah kebangsaan. Manakala di sekolah jenis kebangsaan pula telah menjadikan bahasa ibunda mereka sebagai bahasa pengantar di sekolah masing-masing. Hal ini telah membuktikan kepada kita bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang demokrasi dan sentiasa menjaga kepentingan rakyatnya yang berbilang bangsa, kaum dan agama.

Pengalaman sebagai seorang guru ganti di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) sekitar 2 tahun yang lepas telah mendorong saya untuk berkongsi pengalaman yang berkait rapat dengan bahasa Melayu. Semasa saya mengajar di sekolah tersebut, saya telah ditugaskan untuk mengajar beberapa subjek seperti Pendidikan Sivik, Geografi dan Sejarah. Walaupun saya tidak berpeluang untuk mengajar subjek Bahasa Melayu ketika itu, namun saya tetap memerhatikan perkembangan sistem Pembelajaran dan Pengajaran Bahasa Melayu dilaksanakan.

Semasa di sekolah tersebut, saya telah memerhatikan proses P&P Bahasa Melayu berlangsung di sebuah kelas. Semasa pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu berlangsung, tidak ada pun pelajar yang berinteraksi dengan guru yang mengajar dengan menggunakan bahasa Melayu. Tetapi mereka tetap menggunakan bahasa ibunda mereka untuk berhubung. Hal ini jelas menunjukkan suasana pengajaran yang langsung tidak menepati proses P&P yang sebenar. Perkara ini sekali gus telah menjejaskan penyebaran bahasa Melayu dalam kalangan pelajar terutamanya daripada kalangan pelajar yang bukan Melayu. Perkara ini mungkin terjadi disebabkan majoriti pelajar dan guru bukanlah daripada golongan yang bahasa ibundanya adalah bahasa Melayu. Selain itu, persekitaran sekolah tersebut juga mempunyai penduduk yang majoritinya bukan berbangsa Melayu. Hal ini telah menyebabkan interaksi harian pelajar juga berada dalam lingkaran bahasa ibunda masing-masing sehingga terbawa-bawa ke dalam suasana sekolah.

Keperluan seseorang itu menguasai bahasa Melayu dengan betul merupakan satu keperluan yang perlu diuatamakan. Oleh hal yang demikian, senario seperti ini tidak seharusnya berlaku sedemikian rupa. Proses P&P Bahasa Melayu hendaklah dilaksanakan secara serius dengan cara mengaplikasikan bahasa kebangsaan ketika sesi pengajaran berlangsung. Begitu juga seharusnya berlaku dalam subjek-subjek yang tidak sepatutnya memerlukan bahasa lain selain dariapada bahasa Melayu digunakan ketika P&P berlaku.

1 comment:

  1. Fariz,

    Sampai minggu ke-3 sahaja. Sekarang sudah minggu ke-8. Rajin menulis, Fariz.

    ReplyDelete